Kisah
ini terjadi di tanah Syam. Kisah yang banyak disebut dari mulut ke
mulut sampai abad ini. Ini adalah kisah ketakwaan seorang pemuda.
Seorang pemuda yang bekerja sebagai penjual kain keliling. Ia
berkeliling dari satu daerah ke daerah. Dari satu kawasan ke kawasan
lain. Dari lorong ke lorong. Dari rumah ke rumah. Ia berkeliling sambil
memanggul kain dagangannya. Akhirnya masyarakat mengenalinya sebagai Si
Penjual Kain Keliling.
Diantara kelebihan pemuda ini adalah
bentuk tubuhnya yang gagah. Kulitnya yang putih. Wajahnya yang
mempesona. Dan keramahannya yang luar biasa. Sehingga siapapun yang
melihatnya akan terpesona kerananya. Itulah kurnia Allah yang
dianugerahkan kepadanya.
Suatu hari, ketika dia sedang
berkeliling menjajakan dagangannya, tiba-tiba ada seorang wanita
memanggilnya. Dia pun segera menghampiri. Wanita ini menyuruhnya masuk
ke dalam rumah. Rumah itu sangat mewah. Agaknya wanita itu termasuk
golongan bangsawan. Apabila si pemuda masuk ke dalam rumah, wanita itu
terus menguncikan pintu. Wanita itu sangat terpesona dengan
ketampanannya. Wanita itu sudah lama tergila-gila padanya. Sudah
berkali-kali wanita itu memerhati ketampanannya secara diam-diam ketika
pemuda itu melalui depan rumahnya.
Wanita itu berkata, "Wahai
pemuda tampan. Sebenarnya aku memanggilmu bukan untuk membeli barang
daganganmu, tapi semata-mata kerana aku sangat mencintaimu. Selama ini
aku tergila-gila pada ketampananmu. " Pada saat itu, tak ada seorang pun
didalam rumah selain mereka berdua. Wanita bangsawan itu dengan penuh
harap merayunya untuk berzina. Si pemuda pun mengingatkannya akan
pedihnya seksa Allah.
Namun, semua usahanya sia-sia belaka.
Setiap perkataan yang diucapkan pemuda itu membuat wanita itu semakin
menggila dan nekad. Wanita itu semakin bersungguh-sungguh untuk menakluk
pemuda itu. Namun pemuda itu tak berganjak imannya. Dia menolak dengan
tegas. Oleh kerana si pemuda sentiasa menolak, wanita itu mengancam,
"Jika kamu tidak menurut apa yang kuperintahkan, aku akan berteriak
sekuat-kuatnya dan mengatakan kepada orang ramai bahawa ada orang yang
masuk kerumahku dan ingin memperkosaku. Mereka pasti mempercayai
ucapanku kerana kedudukanku dan kamu telah masuk dalam rumahku.
Akibatnya kamu akan binasa. Kau akan dianggap penjahat paling nista
bahkan orang ramai akan marah dan menggantungmu hidup-hidup !" wanita
itu mengancam dengan serius.
Pemuda itu terus berfikir
bagaimana mencari jalan keluar. Dia tidak mahu melakukan maksiat tapi
juga tidak ingin dapat musibah yang lain. Dianggap oleh masyarakat
sebagai penjahat lalu digantung tanpa ampun. Sungguh, ini hal yang
sangat menyakitkan. Beberapa detik kemudian tiba-tiba terbitlah idea
nekadnya. Kadang-kadang tindakan nekad mesti dilawan dengan nekad juga.
Sambil tersenyum ia berkata, "Baiklah. Bolehkah aku ke bilik mandi untuk
membersihkan diri terlebih dahulu ? Lihatlah tubuhku penuh dengan peluh
yang baunya tidak sedap ! " Mendengar katanya, wanita tersebut sangat
gembira kerana menganggap dia akan menuruti keinginannya dan berkata
dengan hati yang gembira, "Oh, tentu saja boleh wahai kekasihku."
Si pemuda pun segera masuk ke bilik mandi. Penyataan itu tadi sekadar
untuk menyelamatkan diri sesaat. Mencari tempat yang tenang untuk
berfikir. Sampai di dalam bilik mandi tubuhnya gementar kerana takut
jatuh dalam kemaksiatan. Wanita adalah perangkap syaitan. Tidak ada
seorang lelaki dan wanita yang berduaan, kecuali ada yang ketiga iaitu
syaitan, demikianlah sabdaan Rasulullah SAW. Dia pasrah kepada Allah. Ya
Allah, apa yang mesti aku lakukan ? Berilah hambaMu petunjuk ya Allah.
Tiba-tiba tercetus sesuatu dalam fikirannya, dia bergumam, "Aku tahu
pasti, diantara golongan yang akan mendapatkan naungan pada hari tidak
ada naungan lagi di hari kiamat adalah seorang pemuda yang diajak
berzina oleh seorang wanita cantik dan berkedudukan, lalu ia mengatakan,
'Sungguh aku takut pada Allah !' Aku juga tahu bahawa orang yang
meninggalkan sesuatu kerana takut kepada Allah, maka Allah akan
menggantinya dengan yang lebih baik. Tidak sedikit orang yang menurutkan
hawa nafsunya yang mana akhirnya membawa kepada penyesalan hingga akhir
hayatnya. Jika aku lakukan kemaksiatan ini, Allah akan menghilangkan
cahaya dan kenikmatan dari hatiku. Wahai Tuhan, tidak, tidak !
Sekali-kali aku tidak akan melakukannya ! Tapi apa yang mesti aku
lakukan ? Apakah aku harus menyelinap dari jendela ? hal itu mustahil
kerana jendela ini dikunci dengan kuat dan sangat sukar membukanya.
Kalau begitu aku harus melumuri tubuhku dengan kotoran. Ya aku harus
melumuri tubuhku dengan kotoran. Semoga jika dia melihatku seperti itu,
dia akan merasa jijik lalu mengusirku."
Benar saja, lalu dia
buang air besar dan melumuri seluruh tubuhnya dengan kotoran buang air
besarnya. Seluruh rambutnya, mukanya, dada, tangan, dan semuanya. Dia
sendiri sebenarnya merasa jijik. Bahkan ia mual dan sempat muntah.
Sambil menangis ia berkata, "Ya Allah ya Rabbi, kerana rasa takutku
padaMu aku melakukan ini ! maka gantikanlah untukku yang lebih baik."
Lalu iapun keluar dari bilik mandi dan wanita tersebut tersebut terkejut
melihat keadaannya. Dia merasa jijik sambil menjerit dan berteriak
dengan kuat, "Keluarlah, hai orang gila ! Dasar pemuda gila, keluar kau
jangan kau mengotorkan rumahku."
Dia pun berjalan keluar dan
berpura-pura berlagak seperti orang gila. Sampai diluar rmah, dia
cepat-cepat mencari tempat yang sunyi. Dia takut dilihat orang dan takut
mereka akan menghinanya. Jika itu yang terjadi maka barang jualannya
tidak akan laku lagi kerana dia akan dianggap benar-benar gila. Beberapa
orang yang melihatnya merasa hairan dan menertawakannya. Dia terus
berjalan menuju rumahnya melalui jalan yang lenggang. Dia merasa sangat
lega ketika sampai dirumahnya terus melepaskan pakaiannya dan segera
masuk ke bilik mandi untuk membersihkan seluruh tubuhnya.
Ketika ia keluar dari bilik mandi, Allah SWT menunjukkan kekuasaanNya.
Allah menjadikan bau harum yang sangat luar biasa memancar dari seluruh
pori-pori tubuhnya hingga ajal menjemputnya. Bau itu boleh dihidu dari
jarak beberapa meter. Akhirnya dia dikenali sebagai "Al-Miski" atau
Orang Yang Seharum Kesturi. Kisah ini menjadi bukti keagungan Allah.
Kisah nyata ini masih dapat dilihat peninggalannya. Di tanah Syam, ada
sebuah makam yang tertulis "Al-Miski". Itulah kubur orang mulia yang
menjaga kesuciannya ini....
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori kisah-Hikmah
dengan judul Kisah Pemuda Yang Tubuhnya Seharum Kasturi. Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL http://usyahya.blogspot.com/2013/12/kisah-pemuda-yang-tubuhnya-seharum.html. Terima kasih!
Ditulis oleh:
Unknown -